Friday, April 3, 2009

persoalan fikrah



Di sebuah rumah di pinggir kota,

Jam 12.00 tengahari, tiga beranak sedang bersiap-siap untuk makan tengahari dan makanan telah tersedia sejak pagi, ibu dan ayahnya sama-sama memasak makanan. Kali ini mereka cuba untuk menggunakan semuanya segar dari kebun yang ditanam di laman belakang dan tepi depan rumah mereka. Ada tomato, ada cili, ada halia, ada kunyit, ada serai, ada daun salad dan sebagainya tapi rumah mereka tidaklah luas mana.

Ada seorang anak kecil, makan bersama ayah dan ibunya.
Sedang ia makan, dia bertanya kepada ibunya.

"Ibu, makanan hari ini sangat sedap, dari mana datangnya makanan ini dan rasa sedap ni ibu?"

Fikrah dengan ceria bertanya pada ibunya, rasa sedap pada lidahnya membuatkan pipi gebu Fikrah bertambah tembam.

Ibunya sambil rasa senang dan seronok kerana dipuji cuba mula bercerita.

"Oh, makanan ini kan ibu yang masak tadi, ibu campurkan dengan lada putih dan lada hitam dan beberapa biji hasbatul sauda', ibu juga tidak gunakan sos dan kicap untuk perasa. Kali ini ibu cuba gunakan buah tomato yang ibu tanam dibelakang rumah untuk rasa masam dan cili segar untuk rasa pedas, sedikit halia juga dari kebun kita di belakang rumah tu, mungkin kerana segar dari kebun, itu penyebab kesedapannya wahai anakku Fikrah."

Ayahnya menambah,

"Mungkin kerana Fikrah mula makan makanan itu dengan bismillah, itu yang sedap tu"

Ujar ayahnya sambil mengusap rambut yang terurai di dahi fikrah dengan penuh kasih sayang.

Ibu dan ayahnya tersenyum, anaknya masih tidak puas hati dengan jawapan ibu dan ayahnya, dibenak hatinya, ibu dan ayah tersenyum seperti mereka ada merahsiakan jawapan sebenar.

"Bagaimana dengan nasi ni ibu"? kita tak tanam padi kan?

Ibu dan ayahnya terkejut, kenapa hari ini fikrah betul-betul mahu tahu persoalan ini?

Ibunya menjawab,

"Ya, Fikrah, kita tidak menanam padi, padi ini datangnya dari sawah. Rumah kita tak muat untuk menanam padi. Jadi ada pesawah yang bekerja untuk menanam padi, pesawah itulah yang menuai padi dan pesawah itu akan menghantar padi yang dituai ke kilang untuk diproses menjadi beras"

Ayahnya menyampuk dengan nada berjenaka.

"Ya..kilang beras, pilihan bernas, pilihan bijak" suami isteri itu tertawa kecil oleh lawak si suami.

Sedangkan fikrah benar-benar rasa masih belum terjawab. Dia mengetip bibir seolah-olah geram.

Ayahnya terperasan keadaan itu lalu meneruskan cerita.

"Dari kilang, beras itu dibungkus dan dihantar ke kedai-kedai, dari kedailah kita membeli beras, dan kemudian beras itu ibu fikrah basuh, dan ibu fikrah memasaknya untuk kita sekeluarga dengan rice cooker yang ayah belikan tu"

Dengan lemah lembut ayah fikrah bercerita agar dapat mententeramkan fikrah.

Fikrah bertanya lagi. Kali ini bertubi-tubi seolah-olah tidak puas hati benar

"Dari mana datangnya padi?" dari benih padi jawab ibunya
"Dari mana datangnya benih padi?" dari penuaian benih padi di tanam di atas tanah jawab ayahnya.

"Dari mana datangnya tanah"?

Ayah dan ibu fikrah terdiam dan terdetik di hati mereka. Terharu, sayu, pilu, keinsafan, dan bangga pada Fikrah, mungkin berkat namanya Fikrah, dia benar-benar ingin tahu erti "Fikrah"

"Fikrah tahu semua yang ibu dan ayah cakap sejak awal tadi adalah selok belok.
kenapa ibu dan ayah tidak menjawab dengan terus terang?"

Fikrah seolah-olah merajuk, tapi fikrah tertunduk takut-takut kalau sikapnya itu buat ibunya kecil hati. Fikrah tak mahu berdosa pada ibu.

Keadaan terdiam sebentar. Seolah-olah ada malaikat yang lalu datang membawa ilham kepada ibu dan ayah fikrah untuk menjawab persoalan anaknya yang bersifat Fikrah itu.

Ibu Fikrah berkata,

"Anakku, ibu minta maaf, ibu mengelirukan Fikrah, ketahuilah anakku, memang benar. Segalanya dari ALLAH S.W.T"

Makanan yang kita makan itu dari Allah s.w.t,
Rasa sedap makanan itu juga dari Allah s.w.t,
Tanaman yang ayah fikrah usahakan di kebun rumah kita juga tumbuh dengan izin Allah.s.w.t.

Ayah Fikrah menitiskan air mata menyambung kata-kata ibu fikrah.

"Benar Fikrah, segala-galanya dari ALLAH S.W.T. Dialah Al-Khaliq. Mari kita berdoa agar rezeki yang diberikan ini berkat, halal, dan semoga dengan rezeki yang baik darinya ini kita sekeluarga terhindar dari api neraka."

Mereka bertiga menadah tangan semula dan berdoa kepadaNya.

Tangisan keinsafan dan air mata yang keluar dari mata kami bertiga ini juga dariMu Ya Allah.

Segalanya dari Al-Khaliq.


10 perangkap syaitan



ALLAH berfirman yang bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.'' ( An-Nisa': 120-121).

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri. Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia, pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut. Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah. Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut.


Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu:

1. Melalui sifat bohong dan angkuh

Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

2. Melalui sifat bakhil dan kedekut

Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan ALlah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

3. Melalui sifat takbur dan bongkak

Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. ALlah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.'' (An-Nahl:23)

4. Sifat khianat

Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat


Junjungan RasuluLlah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

6. Melalui sifat hasad

Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain

Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim).

8. Melalui sifat ujub atau bangga diri

Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

9. Melalui sifat suka berangan-angan

Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.

10. Melalui sifat buruk sangka

Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. RasuluLlah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.'' (Riwayat Muslim)